Model Reka Bentuk instruksional ASSURE, (Heinich, 1982) bertujuan menyediakan panduan merancang dan mengendalikan pengajaran yang memerlukan penggunaan media. Justeru itu penyesuaian ini dapat dilakukan berasaskan Model Reka Bentuk tersebut bagi memilih dan menggunakan media pengajaran secara umum. Terdapat enam komponen dalam model ini iaitu:
A- Analisa Pelajar (Analyze Learners) : Analisis ciri umum pelajar seperti peringkat umur, tahap persekolahan, tahap kemahiran intelektual, stail pembelajaran dan sebagainya sebelum sesuatu media dipilih dan digunakan.
S- Menyatakan Objektif (State Objective) : Pernyataan objektif prestasi dalam merancang sesuatu pengajaran untuk menentukan jenis bahan multimedia yang ingin digunakan iaitu mengenalpasti kebolehan atau prestasi yang akan dipelajari atau ditunjukkan oleh pelajar selepas mengikuti pelajaran.
S- Memilih Kaedah, Media dan Bahan (Select Methods, Media and Materials) : Memilih bahan sama ada menepati kehendak dan keperluan objektif atau mengubahsuai bahan multimedia agar menepati objektif, ciri-ciri pelajar dan pendekatan yang akan digunakan serta kekangan yang mungkin dihadapi sesuai dengan objektif pembelajaran.
U- Menggunakan Media dan Bahan (Utilize Media and Materials): Guru harus terlebih dahulu mengadakan pratonton media tersebut sama ada manual penggunaanya, laporan, lampiran atau melihat sendiri sama ada melalui paparan komputer atau mendengar audio atau membaca teksnya supaya sesuai dengan objektif pembelajaran.
R- Memerlukan Penyertaan Pelajar (Require Learner Participation): Media pengajaran yang baik membolehkan penyertaan respon pelajar dalam berinteraksi dengan bahan yang disediakan serta mendapatkan maklumbalas. Penglibatan pelajar boleh berlaku secara individu atau berkumpulan.
E- Menilai dan Mengulangkaji (Evaluate and Revise): Penilaian perlu dibuat secara berterusana dan bersepadu serta menyeluruh disemua peringkat untuk memberi gambaran sejauhmana keberkesanan media yang dipilih terhadap prestasi pelajar serta bertepatan dengan objektif atau hasil pembelajaran yang dikehendaki (Heinich, 1982)