Tuesday 15 November 2011

Perkembangan terkini PPSMI




Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa pelajar yang sedang mempelajari matapelajaran matematik dan sains di bawah sistem PPSMI akan dibenarkan untuk terus menggunakan bahasa Inggeris sehingga mereka selesai pengajian di tingkatan 5.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan demikian ketika mengumumkan langkah-langkah pendekatan yang akan diambil dalam transisi dari PPSMI kepada bahasa kebangsaan semula, di sini, pada Jumaat.

Berikut adalah butiran penting pengumuman beliau:
  • Semua murid dari tahun 2 sehingga tingkatan 5 tahun ini yang kini sedang mengikuti sistem PPSMI akan dibenar meneruskan pengajian mereka mengikut sistem tersebut sehingga mereka tamat belajar.
  • Mulai tahun depan semua pelajar sekolah kebangsaan dari tahun 3 hingga tahun 6 akan dibenar untuk meneruskan pengajian mereka dalam matapelajaran matematik dan sains sama ada dalam bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia atau kedua-duanya sekali.
  • Mana-mana pelajar yang sedang mengikuti kedua-dua matapelajaran tersebut dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, akan dibenarkan meneruskan pengajian mereka dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya.
  • Pembelajaran dan Pengajaran matapelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya akan bermula dari tahun 2016 untuk sekolah rendah.
  • Untuk sekolah menengah pula, kedua-dua subjek berkenaan akan diajar sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia mulai tahun 2021.

1 comments:

Hasnor Izzati Che Razali said...

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003.Akhirnya pada 8 Julai 2009 dasar ini akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah kajian mendalam dilakukan.


Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris menerbitkan hasil kajian mengenai kesan dasar PPSMI pada April 2008, berasaskan tiga kali tinjauan soal selidik dan ujian terhadap murid-murid Tahun Lima, iaitu pada bulan-bulan Februari 2007 (sampel bersaiz 1564 orang) dari 27 buah sekolah rendah; Julai 2007 (636 orang) dari 13 buah sekolah; dan Januari 2008 (1703 orang) dari 28 buah sekolah. Menurut abstrak kajian tersebut[15]:

“ Lebih 80% murid menyatakan yang guru Matematik dan Sains mereka mengguna campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70% murid menyatakan mereka ‘tidak faham/kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan dan 80% Sains dalam Bahasa Inggeris, dan mereka ‘sukar/agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini. Prestasi murid dalam Ujian Matematik dan Sains rendah, terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’. Bagi kohort Januari 2008 skor min Matematik 7.89 daripada skor maksimum 20.0; dan skor min Sains hanya 4.08 daripada maksimum 14.00. Skor min Bahasa Inggeris juga rendah iaitu 11.87 daripada skor maksimum 31.0. Kelemahan ini nyata sekali di kalangan murid Melayu dan murid Orang Asli, berbanding murid Cina dan India. … Dapatan dari kajian-kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai, bahkan negatif: ia menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan terlalu sedikit meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris pelajar. ”

Kajian ini turut menerima bidasan oleh sesetengah pihak kerana kajiannya yang tidak kurang kepincangannya. Antara kelemahan utama yang ditekankan adalah: kelemahan guru berbahasa Inggeris dikaitkan dengan kegagalan dasar padahal ini masih boleh dibaiki; kekurangan analisa statistik dalam data yang memerlukan sampel terlibat dibahagi mengikut latar belakang sekolah dan murid; ketiadaan kelompok kawalan sebagai alat perbandingan statistik untuk mengukuhkan hujahnya, memandangkan semua sekolah mengajar dalam bahasa Inggeris[16]; perbandingan hasil soalan berbahasa Inggeris dan soalan berbahasa Malaysia, yang mana hanya 37.3% menjawab soalan berbahasa Malaysia berkenaan dengan betul berbanding 39.6% yang menepati soalan berbahasa Inggeris itu, menjadikan hasil kajian ini seolah-olah tidak menyokong dengan sebaiknya saranan kajian ini agar memansuhkan dasar ini....renungkan, hanya sekadar perkongsian...

Post a Comment